IPOH: Peranan pasukan bomba dan penyelamat bukan sahaja menyelamatkan nyawa dan harta benda, malah juga mengurangkan kerugian yang ditanggung negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepantasan dan kecekapan anggota bomba memadam kebakaran berjaya meminimumkan kerosakan harta benda sekali gus membantu memacu pembangunan negara.
Justeru, Anwar yang Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak akan sekali-sekali berkira dalam menambah peruntukan kepada pasukan itu setiap tahun bagi memastikan perkhidmatan mereka sentiasa ditambah baik.
“Kalau kita tanya cukupkah peruntukan untuk bomba ini? Saya kata takkan cukup, tapi seiring pemulihan ekonomi kita akan sentiasa tambah peruntukan kepada kementerian terlibat,” katanya ketika merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Terdahulu Anwar menerima Hormat Perdana daripada anggota perbarisan Jabatan Bomba dan Penyelamatan Negeri Perak.
Sementara itu, Perdana Menteri di majlis sama turut mengumumkan naik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Tambun dari Balai Kategori D ke Balai Kategori C.
Dengan pengumuman itu, bilangan perjawatan di balai berkenaan akan ditambah kepada 29 anggota diketuai Ketua Balai gred KB29, selain sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) juga ditempatkan di sini bagi tujuan operasi operasi pemadaman dan penyelamatan.
Anwar turut memuji prestasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia secara keseluruhan yang disifatkan berada pada tahap terbaik.
Sementara itu, Nga dalam ucapannya berkata pengoperasian balai berkenaan sekali gus menjadikan Perak sebagai negeri kedua dalam negara yang mempunyai jumlah balai bomba terbanyak iaitu 35 balai.
“Saya amat yakin dengan adanya balai bomba baharu ini, ini akan memberikan impak yang sangat positif dalam penyampaian khidmat kebombaan dan penyelamatan yang lebih baik mengikut KPI (indeks prestasi utama) ditetapkan iaitu response time tidak melebihi 10 minit,” katanya.