MASJID TANAH, 14.7.2023: Pada jam 12.28 tengah hari, JBPM Negeri Melaka menerima panggilan melalui talian MERS999 tentang kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Paya Lebar, Kampung Ramuan Cina, Masjid Tanah, Melaka.
Pasukan Bomba, BBP Masjid Tanah seramai 6 orang telah bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera LFRT sebaik panggilan diterima.
Komander Operasi, PBK II (KUP) Mohd Nizam bin Abdullah melaporkan, kemalangan tersebut melibatkan 3 buah kenderaan iaitu, lori muatan 3 tan, kereta Proton Saga dan kereta Perodua Myvi.
Terdapat 2 orang mangsa telah tersepit di dalam kereta Myvi. Pasukan Bomba bertindak menjalankan kerja-kerja penyelamatan untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
Namun, salah seorang mangsa iaitu lelaki berusia 25 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM. Manakala seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 23 tahun mengalami kecederaan. 2 lagi mangsa iaitu lelaki berusia 30 dan 56 tahun adalah terselamat dalam kejadian itu.
Mayat mangsa meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2:19 petang setelah memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi.