Oleh Norzamira Che Noh – Oktober 12, 2022 @ 3:14pm
bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan kekerapan rondaan di 52 kawasan titik panas banjir di seluruh Selangor dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL). Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata kekerapan rondaan itu adalah antara strategi pihaknya selepas mendapati hujan mulai turun setiap hari, yang seterusnya menyebabkan paras air sungai meningkat.
“Selain rondaan kerap di lokasi titik panas, anggota juga diberikan pendedahan setiap minggu berkenaan bot bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran terutamanya di kawasan berarus deras seperti di Taman Sri Muda. “Bot juga perlu selalu dibawa serta diselenggara. Justeru, kekerapan pengendalian bot dilaksanakan terutamanya di kawasan titik panas yang kita sudah kesan terutamanya di daerah Petaling,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JPBM Selangor menghadapi MTL, yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, Norazam berkata, setakat ini, pihaknya mempunyai 72 bot pelbagai jenis, yang akan ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri.
Katanya, daerah Petaling adalah antara lokasi paling berisiko, justeru 15 buah bot akan ditempatkan di lokasi seperti Taman Sri Muda (Seksyen 25), Jalan Kebun (Seksyen 30) dan Seksyen 13.
“Bagi kawasan yang kurang mengalami risiko banjir seperti Sabak Bernam, mungkin kita akan tarik (bot) bagi menampung kekuatan di daerah Petaling,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan sesetengah individu berkongsi video atau gambar banjir lama di media sosial sehingga menimbulkan panik masyarakat, Norazam menasihati orang ramai untuk merujuk laman rasmi jabatan untuk mendapatkan kesahihan dan maklumat terkini.
“Kita berterima kasih kepada yang berkongsi tetapi kita juga berharap mereka bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat dan tidak berkongsi gambar serta video banjir yang lama,” katanya.
Kredit Sumber : BH Online