Oleh Samadi Ahmad – September 22, 2022 @ 4:46pm
bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menetapkan tiga lokasi pangkalan hadapan, berfungsi sebagai kawasan penempatan awal logistik bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata lokasi dibuat mengikut zon membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat Perda, Pulau Pinang (Zon Utara), Balai Bomba Ayer Hitam, Johor (Zon Selatan) dan Akedemi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu
(Zon Timur).
Katanya, bagi memastikan pengurusan banjir berada pada tahap optimum JBPM akan bergerak menerusi empat strategi iaitu kajian kawasan risiko, kesiapsiagaan peralatan dan kelengkapan, perintah dan kawal dan khidmat kemanusiaan.
“JBPM juga akan memastikan pemantauan berterusan dan persediaan awal di lokasi titik panas membabitkan tiga kategori iaitu kawasan berisiko banjir (5,429 lokasi), kawasan berisiko kepala air (186 lokasi) dan kawasan cerun kritikal (122 lokasi),” katanya pada sidang media Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Menghadapi Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat JBPM di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Laporan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula November sehingga Mac 2023.
Sebagai persediaan MTL tahun ini sebanyak 332 balai bomba dengan hampir 29,000 anggota termasuk 12,718 pegawai bomba sepenuh masa, 2,111 pegawai bomba bantuan dan 13,559 anggota bomba sukarela sudah bersiap sedia menghadapi segala bentuk kecemasan termasuk fasiliti dan logistik di air, udara dan darat.
Reezal berkata, lokasi titik panas dikenal pasti di enam negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak yang menjadi tumpuan JBPM.
Menurutnya, selain itu seramai 4,000 anggota terdiri daripada pasukan khas JBPM seperti Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Pasukan Khas Udara, Pasukan Multi Skill (MUST) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) turut bersiap siaga menghadapi banjir.
Menyentuh aspek logistik Reezal berkata, hampir 2,000 aset kenderaan dan jentera pelbagai fungsi termasuk di darat, air dan udara juga berada dalam keadaan yang baik dan bersedia digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana.
Menurutnya, JBPM juga sudah memantau situasi secara berkala seperti data taburan hujan, paras air, luruan monsun dan pasang surut air laut berdasarkan data serta maklumat daripada agensi berkaitan.
Katanya, JBPM juga dalam proses perolehan bagi memastikan setiap negeri mempunyai satu unit ‘remote control lifebuoy’ untuk kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.
“Aset ini sudah diguna pakai di luar negara untuk menyelamat mangsa banjir kerana kita tidak dapat menjangka tahap kedalaman banjir serta berhadapan arus deras yang membahayakan keselamatan serta nyawa anggota ketika melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Bagi kawasan yang dilanda banjir hanya 20 peratus anggota dibenarkan bercuti dan sekiranya seluruh negara dilanda banjir tiada anggota dibenarkan bercuti,” katanya.
Kredit Sumber : BH Online