Oleh Rafidah Mat Ruzki – Oktober 17, 2022 @ 6:05pm
fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap negeri sudah diarahkan untuk diaktifkan serta-merta di semua peringkat bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan mendepani sebarang bencana dan musibah ketika musim Monsun Timur Laut.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira ramalan hujan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan taburan hujan yang semakin banyak, ribut petir, tanah runtuh serta musibah banjir di beberapa negeri.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persediaan Menghadapi Banjir 2022/2023 Bilangan 2 yang dipengerusikannya hari ini.
“Saya dimaklumkan dari segi mobilisasi sumber manusia, lebih 55,000 pasukan penyelamat daripada anggota Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) serta aset-aset strategik seperti bot dan kenderaan pacuan empat roda sudah bersedia digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan musibah banjir di seluruh negara.
“Lebih 11,000 premis awam di seluruh negara, termasuk sekolah, balai raya dan masjid, sudah didaftarkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa bencana, dan juga sebagai depoh penyimpanan barang-barang bantuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Mohd Zuki berkata, semua agensi kerajaan juga perlu bekerjasama untuk sentiasa bersedia dan proaktif mengendalikan pengurusan bencana dengan cepat khususnya dalam penyaluran maklumat serta hebahan kepada rakyat sewaktu bencana banjir.
“Marilah kita berdoa agar semua rakyat Malaysia sentiasa dilindungi dan dipelihara dari sebarang musibah yang boleh menggugat keselamatan dan ancaman nyawa,” katanya.
Kredit sumber: BH Online