KLEBANG, 19 Julai 2024 – YS Pengarah, PKPjB Sayani binti Haji Saidon, telah menyertai salah satu aktiviti di bawah pelaksanaan Program Pemulihan Intervensi Pengurusan Berat Badan JBPM (Wellness Hub). Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan turut dipantau untuk menilai keberkesanannya di JBPM Negeri Perak.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi konsultasi mengenai pemakanan sihat berdasarkan Piramid Makanan Malaysia 2020. Konsultasi ini menekankan pengambilan sekurang-kurangnya tiga sajian sayur dan dua sajian buah setiap hari. Selain itu, peserta juga diberikan panduan pemakanan menggunakan kaedah Pinggan Sihat Malaysia, yang mengesyorkan pengambilan hidangan utama secara Suku-Suku Separuh (1/4 Sumber Protein, 1/4 Sumber Karbohidrat, dan 1/2 Sayur dan Buah). Peserta turut diajar untuk memahami maklumat pemakanan pada label produk sebelum membuat pembelian.
Program ini adalah hasil kolaborasi dengan program yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu Program I Fit and Eat Right (IFitEr), yang bertujuan membantu peserta yang menghadapi masalah berat badan berlebihan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat. Sejak Jun 2024, seramai 64 peserta pelbagai gred dari JBPM Negeri Perak telah terpilih untuk menyertai program ini.