Johor Bahru, 19 Februari 2025 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat menerusi Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Februari 2025 yang berlangsung di Dewan Bakawali, Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor.
Majlis ini dimulakan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku serta lagu rasmi JBPM “Siap Sedia Setiap Masa”, diikuti dengan bacaan ikrar Rukun Negara dan ikrar Integriti Malaysia sebagai simbolik kepada dedikasi serta komitmen tinggi pasukan bomba Johor dalam menjalankan tugas mereka.
Pengarah JBPM Negeri Johor, YS PKPjB Siti Rohani Binti Nadir dalam perutusannya menegaskan kepentingan JBPM sebagai barisan hadapan dalam menangani kecemasan dan menyelamatkan nyawa serta harta benda. Beliau turut mengimbas pencapaian sepanjang tahun 2024, termasuk kejayaan JBPM Johor dalam mengurangkan jumlah kes kebakaran serta peningkatan respons pantas terhadap panggilan kecemasan.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, JBPM Negeri Johor telah menghadiri sebanyak 13,717 kes kecemasan dengan pencapaian “Response Time” di bawah 10 minit sebanyak 58.79%. “Meskipun terdapat peningkatan, usaha perlu diteruskan bagi mencapai sasaran yang lebih baik,” ujar beliau.
Majlis turut menyaksikan beberapa penyampaian anugerah dan penghargaan, antaranya pemakaian tanda pangkat kepada pegawai yang dinaikkan pangkat, penyerahan lencana Fit Fire Fighter sebagai tanda komitmen terhadap kecergasan anggota, serta penyampaian hadiah bagi Program Wellness Hub. Turut diadakan ialah pentauliahan pasukan Brassband, Bagpipe dan Kombo JBPM Johor.
Dalam usaha meningkatkan lagi kesejahteraan pegawai dan anggota, majlis turut mengadakan penyampaian sumbangan bantuan perkakasan dapur serta penghargaan kepada orang awam, pegawai bomba, dan wakil media yang telah memberikan sumbangan besar kepada JBPM Johor. Sambutan persaraan pegawai bagi bulan Januari dan Februari serta majlis sambutan hari lahir turut diraikan dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Sebagai penutup, YS PKPjB Siti Rohani mengingatkan semua anggota JBPM Johor agar terus mengamalkan semangat kerja berpasukan dan mengekalkan profesionalisme dalam setiap tugasan yang dijalankan. “Dengan komitmen tinggi dan semangat kerja berpasukan, JBPM Johor pasti akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.


