Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor Rai Pesara dan Bakal Pesara
Johor Bahru, 24 November 2024 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor hari ini mengadakan majlis khas bagi meraikan pesara dan bakal pesara jabatan tersebut. Majlis yang berlangsung di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, itu bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan anggota yang telah banyak menyumbang kepada keselamatan awam dan perkhidmatan kecemasan negeri ini.
Majlis dimulakan dengan ketibaan dan pendaftaran para jemputan, termasuk pesara, pegawai kanan jabatan, serta ahli kesatuan. Kehadiran Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor telah diiringi oleh PPjB Muhammad Al Mustakin Abdul Hady, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor serta dif-dif kehormat.
Dalam ucapannya, YS PKPjB Siti Rohani Nadir menekankan betapa pentingnya penghargaan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh pesara. “Para pesara kita telah memberikan dedikasi luar biasa dalam menjaga keselamatan masyarakat, dan jasa mereka adalah inspirasi kepada generasi baharu dalam perkhidmatan ini,” ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati dan sijil pesara kepada para penerima sebagai simbol penghormatan. Selain itu, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan sebelum menikmati jamuan makan.
Acara turut diakhiri dengan sesi bergambar bersama para pesara dan pegawai kanan jabatan sebagai kenangan yang bermakna.
Majlis yang diadakan dengan tema smart casual ini berakhir dengan penuh rasa syukur dan penghormatan kepada para pesara yang telah meninggalkan legasi bermakna kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor


