Tengkujuh: Bomba pantau lokasi berisiko
Oleh Noor Atiqah Sulaiman – November 24, 2021 @ 7:34pm
bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus memberi fokus dan meningkatkan pemantauan khususnya di lokasi titik panas kawasan banjir dan tanah runtuh di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, berikutan itu pihaknya akan mendapatkan data berkaitan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, JBPM juga akan bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk sekiranya terjadinya bencana tidak dijangka seperti tanah runtuh di Cameron Highlands dan banjir lumpur di Gunung Jerai baru-baru ini.
“Kita akan memberi tumpuan kepada loji jana kuasa elektrik yang berada di kawasan rendah kerana ia boleh mengundang risiko jika banjir melanda. Selain itu kita mahu penduduk setempat berkongsi situasi paras air dan sungai di kawasan masing-masing.
“Ini bagi memudahkan pemantauan dan persediaan sekiranya bencana banjir melanda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM, hari ini.
Selain itu, Mohammad Hamdan berkata bomba dan penyelamat menyediakan 62 kit menyelamat atau Life Saving Appliances (LiSA) di kawasan titik panas yang sering berlaku kejadian lemas.
Katanya ia adalah salah satu inovasi oleh pihaknya dan menjadi langkah tambahan keselamatan pengunjung di pusat peranginan dan perkelahan.
“Kit LiSA itu merangkumi semua peralatan untuk membantu mangsa lemas, seperti pelampung, jaket keselamatan, ‘throw bag rope’, kayu dan sebagainya.
“Bila cermin LiSA itu dipecahkan, ia akan menghantar mesej kepada balai bomba terdekat dan pihak bomba dapat mengetahui kejadian berkenaan berlaku di mana menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) yang dipasang pada kit berkenaan,” katanya.
Kredit sumber : BH Online