13.2.2025: Sebuah motosikal berkuasa tinggi
telah musnah terbakar akibat daripada kemalangan jalan raya dan turut melibatkan sebuah kenderaan MPV jenis Proton Exora yang berlaku di kilometer 43.1, Lebuhraya Senai – Desaru, menghala ke Bandar Penawar, Johor.
JBPM Negeri Johor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7:33 pagi sebelum menggerakkan pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya dengan kekuatan anggota seramai 22 orang ke lokasi kejadian bersama dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah kenderaan Unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Menurut Komander Operasi, PBK I KUP Haizrul bin Rahmad, motosikal berkuasa tinggi itu telah musnah terbakar dianggarkan sehingga 90% akibat daripada pelanggaran dengan kenderaan Proton Exora itu.
Penunggang motosikal iaitu lelaki dewasa berusia 31 tahun disahkan telah meninggal dunia oleh petugas perubatan KKM di lokasi kejadian. Manakala pemandu Proton Exora, lelaki berusia 54 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan bomba telah bertindak memadamkan kebakaran sehingga selesai. Manakala, mayat mangsa kemalangan telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.