TEMERLOH, 14.6.2023: JBPM Negeri Pahang menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya pada jam 6:39 pagi yang berlaku di Jalan Temerloh – Mentakab, Pahang.
Anggota Bomba daripada BBP Temerloh seramai 7 orang telah bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan dengan membawa 2 jentera termasuk Unit EMRS.
Menurut Pegawai Kanan yang berada di lokasi, PPgB Muhammad Redzuan bin Rahimpudin @ Rahimudin, kemalangan tersebut melibatkan sebuah Lori balak tanpa muatan yang melanggar sebuah kereta Jenis Perodua Viva.
Pemandu kereta Perodua Viva, lelaki dewasa telah tersepit di dalam kenderaan. Anggota Bomba bertindak menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Namun setelah diselamatkan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.Manakala, pemandu Lori hanya mengalami kecederaan ringan.