Oleh Zuliaty Zulkiffli – September 21, 2022 @ 6:17pm
bhnews@bh.com.my
ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut memantau kawasan yang jarang dilanda banjir ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL), November ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata wujud kebimbangan kawasan terbabit turut dilanda banjir secara mengejut seperti pernah berlaku di Kedah sebelum ini.
Katanya, kejadian kepala air di Yan dan Baling menyebabkan pemantauan berterusan perlu dilakukan, termasuk di kawasan tidak kerap banjir.
“JBPM turut melakukan persediaan untuk melaksanakan operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa banjir di seluruh negara.
“Lawatan saya ke JBPM seluruh negara bermula di utara untuk meninjau persediaan kesiapsiagaan menangani pengurusan operasi bencana ekoran perubahan MTL bermula November hingga Mac depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan dan melihat aset serta logistik JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon dan Timbalannya, Syufa’at Kamaron.
Mohammad Hamdan berpuas hati dengan persediaan logistik dan aset di negeri ini dan akan melakukan penambahbaikan aset keperluan yang ada.
Untuk logistik di seluruh negara, katanya, persiapan 1,800 aset udara, darat dan air disediakan bagi menghadapi MTL.
“Ia membabitkan 1,400 aset darat, 400 aset marin dan sembilan pesawat helikopter yang disediakan untuk kerja pemantauan, penyelamatan dan bantuan khidmat kemanusiaan ketika banjir.
“Kita juga akan menggunakan pemantauan unit dron melalui udara di pangkalan Subang, Selangor di lokasi kerap banjir di seluruh negara,” katanya.
Kredit Sumber : BH Online