Oleh Zatul Iffah Zolkiply – September 21, 2022 @ 3:36pm
zatuliffah@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menyarankan pemilik bangunan lama supaya melakukan pendawaian elektrik baharu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku seperti kebakaran.
Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid, berkata sistem pendawaian baharu perlu dilakukan terutama bagi bangunan yang sudah berusia puluhan tahun.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memberi cadangan terutama kepada pemilik bangunan lama supaya melakukan pendawaian semula namun ia bergantung kepada pemilik itu sendiri.
“Bagi bangunan atau rumah persendirian, kita tak boleh paksa mereka buat pendawaian semula tetapi kita boleh menasihat dan mencadangkan supaya mereka berurusan dengan kontraktor atau konsultan,” katanya ketika dihubungi
Md Hilman berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dalam hal ini.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya mengambil mudah isu sebegini kerana ia boleh mengakibatkan berlakunya insiden tidak diingini seperti kebakaran hingga menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.
Kredit Sumber : BH Online