KUANTAN :Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan menggunakan kemudahan helikopter Unit Udara Bomba (UUB) untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman negeri ini yang terputus hubungan darat.
Pengarah JBPM Pahang, Wan Mohd Zaidi Wan Isa, berkata beberapa daerah di negeri ini dikenalpasti memerlukan kemudahan pengangkutan udara bagi penghantaran bantuan sekiranya keadaan memerlukan.
Menurutnya, antara kawasan dikenal pasti ialah di Ulu Tembeling, Jerantut yang terdapat beberapa kampung tradisional sebelum ini terputus hubungan setiap kali kejadian banjir besar berlaku.
Katanya, untuk melancarkan operasi penghantaran bantuan menggunakan helikopter pemilihan kawasan pendaratan yang sesuai dan selamat kini sedang dikenalpasti.
“Selain padang bola sepak dan kawasan lapang, jalan raya juga boleh dijadikan landasan untuk helikopter mendarat serta kembali berlepas dengan selamat.
“Kawasan untuk helikopter mendarat tidak boleh terdapat pokok tinggi selain bentuk muka bumi yang rata serta tanah tidak terlalu lembut bagi sebarang kemungkinan berlaku,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemilihan tempat mendarat helikopter sentiasa diberi perhatian serius kerana ia akan menjamin misi menghantar bantuan dapat berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Kita sudah bersedia daripada segi kemudahan logistik dan anggota bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir hujung tahun ini, pengalaman sebelum ini akan digunakan untuk berhadapan bencana itu, ” katanya.