KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 1,848 kawasan berisiko banjir sepanjang musim tengkujuh nanti.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, berkata pihaknya memberi fokus kepada enam negeri yang dijangka berlaku banjir besar, iaitu tiga negeri di pantai timur dan Johor, Sabah serta Sarawak.
“Kita akan beri tumpuan lebih dengan mengerakkan anggota ke lokasi berkenaan jika berlaku banjir luar biasa, termasuk banjir luar jangka.
“Ini bukan bermaksud kita mengabaikan negeri-negeri lain. Kita sememangnya bersedia dengan lebih 10,000 orang bersama aset bagi menghadapi peralihan monsun timur laut yang dijangka melanda tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Wahab berkata, sebanyak 171 kematian daripada 181 kes lemas direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Katanya, Sarawak merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 32 kes diikuti Perak yang merekodkan 22 kes.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak terlalu ghairah melakukan aktiviti di air, meskipun kebanyakan tempat pelancongan serta pusat rekreasi dibuka.
“Individu yang melakukan aktiviti riadah di sungai, pantai dan kawasan air terjun diingatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan semasa, bagi mengelak kejadian tidak diingini” katanya.
kredit sumber : BH ONLINE