Oleh Syaherah Mustafa – November 8, 2022 @ 9:29am
bhnews@bh.com.my
KOTA BHARU: Dua sungai di Kelantan membabitkan daerah Pasir Mas dan Machang menunjukkan paras air melebihi tahap amaran, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Jainal@Zainal Madasin, berkata sungai itu adalah Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang dan Sungai Golok di Rantau Panjang.
Katanya, menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, kedua-dua sungai terbabit menunjukkan paras air 16.36 meter (m) di Kampung Temangan dan 8.51m di Sungai Golok.
“Selain dua sungai ini, terdapat satu lagi sungai yang menunjukkan catatan melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai dengan bacaan 21.09m.
Menurut laman web infobencanajkmv2.jkm.gov, empat PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh, Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7 dan SK Limau Kasturi (1) masing-masing di Gua Musang serta SK Gual To’Deh di Rantau Panjang.
Secara keseluruhan, seramai 24 keluarga berpindah membabitkan 105 mangsa termasuk lima bayi di seluruh Kelantan.
Zainal berkata, peningkatan paras air susulan taburan hujan yang bertambah di beberapa kawasan selain aliran air dari hulu menyebabkan beberapa kawasan rendah mula dilanda banjir.
“Bagaimanapun, semua kawasan yang terbabit berada dalam keadaan terkawal serta jalan-jalan utama juga masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya