2022 11 08 160859

Sungai Luit di Maran lepasi paras amaran

Oleh Asrol Awang – November 6, 2022 @ 2:40pm
bhnews@bh.com.my
KUANTAN: Paras air Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran melepasi paras amaran manakala beberapa sungai dilaporkan melepasi paras waspada setakat jam 2 petang, hari ini.

Maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan, paras sungai yang melepasi paras waspada ialah Sungai Triang, Triang di Bera; Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Paloh Hinai, Pekan; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan.

Bagaimanapun, info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang dibuka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata jabatan itu sudah bersiap siaga dan sedia menggerakkan anggotanya pada bila-bila masa bila keadaan diperlukan.
Katanya, seramai 982 anggota dari 28 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Pahang akan ditugaskan jika berlaku banjir.

“JBPM akan menggerakkan semua anggota yang bukan sahaja di bahagian operasi, malah yang bekerja di pejabat,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 Pasukan Gerak Cepat JBPM Pahang di seluruh daerah di Pahang kecuali Cameron Highlands sentiasa bersedia.

Katanya, setiap pasukan itu akan dianggotai seramai 12 orang dalam memberikan perkhidmatan ketika usaha menyelamat mangsa banjir.

“Pasukan ini turut dianggotai Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) danPasukan Penyelamat di Air (PPDA),” katanya.

English EN Malay MS
Skip to content