IPOH: Cebisan rangka kedua tulang manusia dipercayai mangsa insiden runtuhan batu tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai pada Mac lalu, ditemukan tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris, berkata cebisan rangka berkenaan ditemukan kira-kira jam 12 tengah hari berhampiran lokasi jengkaut kedua yang ditemui semalam.
Bagaimanapun, katanya, usaha mengeluarkan rangka kedua itu terpaksa dihentikan sementara kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi atas nasihat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berikutan hujan lebat.
“Operasi akan diteruskan bergantung kepada keadaan cuaca hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, operasi hari ini dimulakan kira-kira jam 8 pagi tadi dengan 10 anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hasan Basri, berkata setakat jam 5 petang semalam, operasi menemukan bangkai jengkaut yang disyaki dikendalikan oleh mangsa kedua dalam insiden itu.
Rangka jengkaut kedua ditemui di lokasi kejadian kira-kira tiga meter dari lokasi jengkaut pertama ditemukan jam 11.45 pagi semalam.
Pencarian di kawasan sekitar turut menemukan cebisan baju dan rangka manusia kira-kira setengah jam kemudian.
Dua mangsa dipercayai tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di sini pada 8 Mac lalu, iaitu Itam Bah Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri –September 21, 2022 @ 3:18pm bhnews@bh.com.my
Kredit sumber : BH Online