2022 11 01 094759

Bomba bantu pindahkan mangsa terperangkap banjir

Oleh Zuliaty Zulkiffli – Oktober 31, 2022 @ 7:55pm
bhnews@bh.com.my

CHANGLUN: Pasukan bomba berjaya memindahkan tujuh mangsa daripada dua keluarga di Kampung Guar Batu Hitam, Batu 7, Jalan Kodiang, dekat sini ke tempat selamat selepas rumah mereka dilanda banjir, petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata semua mangsa dipindahkan ke rumah keluarga terdekat menggunakan bot aluminium selepas kawasan itu dinaiki air setinggi hampir satu meter.

Beliau berkata, banjir berlaku susulan hujan lebat melebihi dua jam menyebabkan lebih 10 rumah di kampung itu terjejas akibat dinaiki air.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung kejadian banjir itu pada jam 4.58 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dihantar ke lokasi untuk khidmat khas awal banjir.

“Operasi disertai Ketua BBP Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf bersama anggotanya dan ketika operasi dilakukan keadaan hujan masih renyai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi menyelamat tamat pada jam 6.57 petang tadi selepas semua mangsa terbabit dibawa keluar dari situ.

“Operasi turut dibantu pasukan dari BBP Jitra,” katanya.

Kredit sumber : BH Online

English EN Malay MS
Skip to content