banjir kilat 2

Banjir kilat di JB, 40 rumah dinaiki air

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
7 November 2022, 11:18 pm
JOHOR BAHRU: Banjir kilat yang melanda beberapa lokasi daerah ini petang tadi menyebabkan kira-kira sebanyak 40 rumah dinaiki air.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagaimanapun memaklumkan, setakat ini belum ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas.

Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat melebihi dua jam sejak pukul 5.30 petang selain masalah sistem perparitan menyebabkan aliran air tersekat.

“Dua lokasi penempatan penduduk yang dinaiki air ialah Jalan Keris Dua di Taman Sri Tebrau melibatkan 40 buah rumah, manakala tiga rumah di Kampung Kurnia, Larkin,” demikian menurut jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan, malam ini.

Kejadian banjir menyaksikan paras air melebihi 0.5 meter turut melanda beberapa jalan di pusat bandar ini.

Pemantauan berterusan masih dibuat pihak agensi penguatkuasaan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN

English EN Malay MS
Skip to content