88 pendaki terperangkap tragedi kepala air diselamatkan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad – Mei 16, 2022 @ 10:45pm
bhnews@bh.com.my

Melaka: Semua 88 pendaki yang terperangkap di kawasan air terjun Laman Tiga Budaya di Asahan, Jasin, susulan fenomena kepala air hari ini, diselamatkan pasukan bomba. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, angka rasmi itu direkodkan selepas operasi menyelamat selesai jam 4.42 petang tadi.

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 1 tengah hari Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Hanif Mustapa bergegas ke lokasi kejadian bagi tujuan menyelamat.

“Sejurus tiba pasukan bomba mendapati empat kumpulan pendaki berada di sekitar kaki Gunung Ledang terkandas disebabkan laluan keluar gunung ke Laman Tiga Budaya menggunakan sungai.

“Laluan itu tidak dapat digunakan pada ketika itu kerana paras air sungai naik mendadak berserta arus yang deras akibat daripada hujan yang lebat pada waktu tengah hari.

“Kumpulan pertama terdiri daripada 40 orang didapati selamat dan berjaya melintasi sungai berkenaan serta berada di Laman Tiga Budaya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pasukan operasi meneruskan pencarian sehingga 600 meter arah pergunungan dan mendapati tiga kumpulan membabitkan keseluruhan 48 orang berada lokasi berkenaan.

“Kumpulan kedua terdiri lapan orang termasuk pemanggil dan masing-masing 20 bagi kumpulan ketiga dan keempat.

“Ketiga-tiga kumpulan berjaya dibawa turun dengan selamat oleh pasukan operasi ke Laman Tiga Budaya menggunakan laluan alternatif tanpa melalui sungai berkenaan dan tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Katanya, PKO BBP Jasin juga melaksanakan kerja pengalihan pokok tumbang dan memantau pengalihan kereta yang terperangkap dalam air di lokasi kejadian.

Kredit Sumber : BH Online

English EN Malay MS
Skip to content