banjir hulu selangor

Beberapa kawasan di Selangor, Negeri Sembilan banjir

Ilah Hafiz Aziz, Amirul Aiman Hamsuddin dan Ahmad Hasbi – Mei 16, 2022 @ 6:57pm
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan sekitar Selangor dan Negeri Sembilan ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan. Di Selangor, bencana menjejaskan tiga kampung sekitar Kuala Kubu Bharu, iaitu Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Estet Kerling. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya melancarkan operasi menyelamat dan membantu memindahkan tiga penduduk, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita warga emas yang terkandas akibat banjir.

“Ada penduduk yang sudah keluar lebih awal kerana khuatir terperangkap berikutan hujan lebat sejak kira-kira jam 11 pagi. Setakat ini, dianggarkan 15 hingga 20 rumah terjejas,” katanya memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 3.45 jam petang.

Katanya, sepasukan 17 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Zon 6 dikejarkan ke lokasi kejadian dan turut membawa bersama bot.

Di Hulu Selangor, tiga penduduk di Kampung Jawa, Kerling yang diselamatkan bomba pada jam 4.25 petang tadi membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun serta dua penduduk, masing-masing berusia 38 dan 70 tahun.

Norazam berkata, kawasan banjir terbahagi kepada tiga tempat, iaitu Kampung Jawa yang melibatkan kira-kira 20 rumah dan 60 mangsa, Kampung Pasir (30 mangsa) dan Estate Kerling (30 mangsa).

“Kedalaman air banjir di tempat kejadian sedalam 1.8 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini sambil memaklumkan, operasi masih berjalan dengan kekuatan dua bot dari BBP Kuala Kubu Bharu dan Rawang.

Di Nilai, dianggarkan 10 rumah di sekitar Kampung Sungai Mahang, dinaiki air sehingga kira-kira 0.3 meter akibat hujan berterusan sejak tengah hari yang menyebabkan air Sungai Mahang melimpah ke kawasan petempatan berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Bakarya Mohd Salleh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.44 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Berlaku banjir kilat yang mana paras air melebihi satu meter di beberapa kawasan rendah mengakibatkan 10 rumah terjejas dan 10 individu terperangkap di kedai makan di kawasan itu, iaitu seorang lelaki, lima wanita dan empat kanak-kanak yang kemudian berjaya dibawa ke tempat selamat oleh bomba,” katanya.

Bakarya berkata, pihaknya bersama agensi lain masih menjalankan kerja pemantauan, namun sehingga kini tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan sehingga jam 3 petang , paras air Sungai Linggi dekat Kampung Mantau, Seremban mencecah tahap amaran, iaitu 36 meter, melebihi paras bahaya 35 meter, manakala bacaan hujan di stesen hujan Sungai Linggi mencatatkan 45.5mm/jam.

Kredit Sumber : BH Online

English EN Malay MS
Skip to content