2022 11 08 155934

16 terperangkap banjir, kereta dan rumah dihempap tanah runtuh

Oleh Juwan Riduan – November 5, 2022 @ 11:02pm
bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Dua rumah serta sebuah kereta dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Sepanggar dekat sini, petang tadi.

Kejadian berlaku di Kampung Gentisan Wak-Wak itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kerana tiada mangsa terbabit dalam runtuhan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 4.52 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi.

Sebaik tiba, katanya anggota dengan kerjasama orang awam membantu mengeluarkan kereta yang dihempap runtuhan terbabit.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan jam 5.55 petang,” katanya melalui kenyataan malam ini.

Dalam kejadian berasingan pula, pasukan bomba menyelamatkan 16 individu di Kampung Rampayan di Manggatal, dekat sini, yang terperangkap apabila rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

JBPM Sabah berkata, sepasukan bomba dari BBP Lintas bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan jam 6.23 petang.

“Seramai 16 mangsa terdiri tiga lelaki dewasa, empat wanita dewasa dan selebihnya kanak-kanak dikeluarkan pasukan bomba ke kawasan selamat.

“Semua mangsa kemudian ditempatkan sementara di rumah jiran berhampiran,” katanya mengesahkan operasi tamat jam 7.22 malam.

Kredit Sumber : BH Online

English EN Malay MS
Skip to content