IPOH, 4 Mei 2024 – Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 (SHAB 2024) diadakan dengan penuh istiadat dan gilang-gemilang di Jalan Tambun, Sunway City, Ulu Kinta, Perak, telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.
Ketibaan Dato’ Seri Anwar pada pukul 9.00 pagi disambut oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dan YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Mereka menerima Hormat Perdana dan memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Bomba yang terdiri daripada 2 pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat. Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia, yang disambut pada 4 Mei setiap tahun, adalah acara penuh simbolik yang bertujuan untuk memperingati dan menghargai pengorbanan serta jasa bakti anggota bomba di seluruh dunia.
Sebelum program ini berlangsung, beberapa persiapan telah dilakukan oleh pihak tuan rumah iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak. Taklimat Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 telah diadakan pada 1 Mei 2024 di Dewan Premier Dato Sri Ts Mohammad Hamdan, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, yang disampaikan oleh YS PKPjB Dato’ Hj. Norazam Bin Khamis, Pengarah latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Juga, sesi pendaftaran peserta Perbarisan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Meru, Ipoh, telah diadakan. YS PKPjB Dato ‘ Hj. Norazam Bin Khamis, Pengarah Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, turut menyaksikan susun atur pegawai Perbarisan Sambutan Hari Anggota Bomba.
Pada 2 Mei 2024, Raptai Perbarisan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Jalan Tambun Sunway City disaksikan oleh YAS Dato’ Ts. Nor Hisham Bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Manakala pada 3 Mei 2024, satu Raptai penuh Perbarisan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Jalan Tambun Sunway City, Ipoh, Perak, diadakan.
Tema sambutan tahun ini, “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara”, dipilih sekali lagi bagi membawa simbolik kepada komitmen dan dedikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk sentiasa menjadi benteng hadapan dan tiang utama negara bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia.
#StrongerTogether #UnityInDiversity #DemiPertiwi