Ipoh, 30 Oktober 2024 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak dengan kerjasama Bahagian Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menganjurkan Majlis Perasmian Penutupan Rural Emergency Disaster Exercise (REDEX) Kinta 2024 bertempat di Tanjung Rambutan, Perak. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Setia Dato’ Ir. Ts. Ahmad Izram bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada jam 12.30 tengahari.
Latih amal ini, yang berlangsung dari jam 8.00 hingga 11.00 pagi, bertujuan menguji dan memperkukuhkan Standard Operating Procedure (SOP) serta kelancaran sistem komunikasi dan koordinasi antara agensi-agensi pengurusan bencana. Aktiviti ini juga berperanan dalam meningkatkan tahap kesedaran awam dan kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Simulasi ini melibatkan seramai 600 peserta, termasuk penduduk setempat dan 18 agensi pengurusan bencana utama, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan, Jabatan Penerangan, serta Pejabat Daerah Kinta. Setiap agensi terlibat diberikan sijil penghargaan atas sumbangan dan dedikasi mereka dalam memastikan latihan ini berjalan lancar.
Majlis ini bukan sahaja memperkukuhkan persediaan setiap agensi dalam menangani sebarang kemungkinan bencana tetapi juga menyatupadukan komuniti dan agensi pengurusan bencana dalam usaha bersama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berharap latihan ini dapat terus dilaksanakan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan pengurusan bencana di seluruh negara.









