IPOH, 14 Ogos 2024 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak telah menganjurkan Majlis Kursus Kecergasan Fizikal dan Sains Sukan serta Mesyuarat Khas PERSKEB. Turut diadakan dalam majlis yang sama adalah Penyerahan Bendera Kontinjen Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) Negeri Perak dan acara Kibarkan Jalur Gemilang bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2024.
Majlis yang diadakan dengan kehadiran seramai 145 peserta ini telah disempurnakan oleh PKPjB Sayani Binti Haji Saidon, Pengarah JBPM Negeri Perak. Turut hadir adalah Penolong-Penolong Pengarah Bahagian, Pegawai Kanan Jabatan, para peserta SUKBOM 2024, serta Jawatankuasa PERSKEB Perak.
Program ini bertujuan untuk menyuntik semangat juang dalam kalangan peserta yang mewakili Negeri Perak dalam pelbagai acara sukan. Selain itu, program ini juga bertujuan mempereratkan semangat setiakawan sesama anggota serta memupuk nilai-nilai jati diri, semangat patriotik, dan cinta akan negara. Melalui program ini, para peserta turut didedahkan dengan kepentingan menjaga kecergasan fizikal serta menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan warga Jabatan Bomba.
Dengan komitmen yang tinggi dan semangat patriotik yang kental, kontinjen SUKBOM Negeri Perak diharapkan dapat membawa nama jabatan dan negeri ke peringkat yang lebih tinggi dalam arena sukan kebangsaan.