27 Disember 2024
Program Minggu Pegawai Kanan
Program Minggu Pegawai Kanan kali ini telah dianjurkan oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran dengan penganjuran Tazkirah Pagi Jumaat bertajuk “8 Kelebihan Bersedekah yang Disebut dalam Al-Quran dan Al-Hadith”. Tazkirah tersebut telah disampaikan oleh Penolong Penguasa Bomba Mohd Azmi bin Daud.
Antara pengisian utama dalam tazkirah tersebut adalah lapan kelebihan bersedekah seperti berikut:
-Harta tidak akan berkurang kerana bersedekah.
-Bersedekah menjanjikan pahala berlipat ganda.
-Sedekah menjadi bukti keimanan kepada Allah SWT.
-Bersedekah membantu menghapuskan dosa.
-Pintu syurga khas disediakan untuk orang yang bersedekah.
-Sedekah menjadi naungan di hari akhirat.
-Bersedekah menjadi penawar atau ubat kepada penyakit.
-Sedekah menjauhkan diri daripada api neraka.
Amalan bersedekah merupakan salah satu ibadah yang sangat mulia. Sebagaimana pepatah lama menyebut:
“Orang berharta jika bersedekah adalah perkara biasa, tetapi orang yang tiada harta jika bersedekah adalah perkara luar biasa.”
Justeru, janganlah kita menunggu sehingga menjadi kaya baru hendak bersedekah. Mulakanlah amalan bersedekah dari sekarang, kerana dengan bersedekah, Allah SWT akan melapangkan rezeki dan mempermudahkan segala urusan kita.
Majlis ini turut dihadiri oleh:
Yang Setia Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba Nor Ariffin bin Kamari. Penolong-Penolong Pengarah, Ketua-Ketua Cawangan, serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan.
Semoga segala ilmu dan peringatan yang disampaikan melalui tazkirah ini dapat dijadikan iktibar dan panduan dalam kehidupan seharian kita. Amalan bersedekah bukan sahaja membawa manfaat kepada orang lain, tetapi juga memberikan ganjaran yang besar kepada pelakunya di dunia dan akhirat.









