JOHOR BAHRU, 26 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor terus memperkukuh tadbir urus dan kesiapsiagaan perkhidmatan menerusi penganjuran Mesyuarat Ketua-ketua Balai Bilangan 2 Tahun 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 Jun 2025.
Mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor itu telah dipengerusikan oleh YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir, Pengarah JBPM Negeri Johor.
Mesyuarat penting ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor, barisan Penolong-penolong Pengarah Bahagian, Ketua-ketua Zon, serta Ketua-ketua Balai dari seluruh negeri Johor.
Menurut YS PKPjB Siti Rohani, mesyuarat ini menjadi platform strategik untuk menilai pencapaian semasa, menyelaras tindakan bersepadu antara zon dan balai, serta merancang pelaksanaan inisiatif baharu sejajar dengan keperluan semasa masyarakat dan cabaran operasi di lapangan.
> “Penyampaian perkhidmatan yang cekap dan responsif tidak boleh dicapai tanpa kesatuan arah tuju serta pelaksanaan berfokus di peringkat akar umbi. Justeru, ketua-ketua balai memainkan peranan utama dalam memacu budaya kerja berprestasi tinggi di peringkat balai masing-masing,” ujar beliau dalam ucapan pembukaan.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah keberkesanan operasi menyelamat, pelaksanaan latihan bersepadu, keberadaan aset logistik, dan pengukuhan hubungan komuniti menerusi program-program pencegahan kebakaran.
Salah satu agenda penting mesyuarat kali ini ialah Taklimat Integriti yang disampaikan oleh PgKB I Azmi Ab Rahim, Marshall Integriti Jabatan. Taklimat tersebut menekankan kepentingan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek tugas seharian serta langkah-langkah pencegahan salah laku dan penyelewengan dalam perkhidmatan.
“Integriti bukan sekadar slogan tetapi asas kepada keberkesanan perkhidmatan kita. Setiap pegawai dan anggota perlu sedar bahawa tanggungjawab mereka sentiasa tertakluk kepada pemantauan masyarakat dan undang-undang,” ujar PgKB I Azmi.
Mesyuarat ini turut memberi penekanan kepada aspek integriti, pengurusan aduan awam, serta penguatkuasaan terhadap premis-premis berisiko tinggi di seluruh negeri Johor.
JBPM Negeri Johor komited untuk terus menjadi agensi penyelamat yang dipercayai rakyat, sejajar dengan visinya untuk menjadi organisasi bertaraf dunia dalam bidang penyelamatan dan kebombaan.
