19.12.2022
Seorang lelaki dipercayai berusia 56 tahun dilaporkan telah tersesat di hutan setelah selesai mendaki di kawasan hutan Gunung Pulai, Johor petang semalam (18.12.2022). Pihak Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.53 malam dan menghantar pasukan Bomba daripada BBP Skudai ke lokasi kejadian berhampiran dengan Pulai Hijauan, Skudai. Mangsa dilaporkan melakukan aktiviti pendakian seorang diri pada pukul 7.00 pagi selepas mendapatkan panduan arah daripada rakannya tentang jalan ke gunung tersebut. Mangsa dilaporkan menggunakan jalan pintas untuk ke puncak gunung tersebut. Namun, sehingga jam 7.00 malam mangsa dilaporkan oleh kakaknya yang risau bahawa mangsa masih belum pulang. Kakak mangsa mendapat maklumat bahawa pasukan pendaki lain ada ternampak mangsa berada di puncak pada jam 10.00 pagi. Mangsa juga dilaporkan ada menghubungi kakaknya pada jam 8.00 malam untuk memberitahu bahawa dia telah tersesat semasa dalam perjalanan pulang dan sempat berkongsi lokasi terakhir melalui talian aplikasi Whatsapp sebelum kehabisan bateri telefon.Pasukan Bomba bersama beberapa agensi lain bertindak membuat pencarian ke lokasi terakhir mangsa dihubungi, namun setelah tiba didapati mangsa telah tiada. Kawasan pencarian diperluaskan di sekitar kawasan trek hutan lokasi terakhir mangsa dan di kawasan tasik dengan menggunakan bot pada jarak 15 km dari kawasan mangsa hilang namun mangsa masih juga tidak dapat dikesan.Pasukan Bomba dan semua agensi terlibat iaitu pihak PDRM dan SAJ telah berkumpul semula pada jam 5.00 pagi dan bertindak membuat pencarian di kawasan sekitar Ulu Choh.Semoga segala usaha pencarian akan dipermudahkan dan segera dipertemukan dengan mangsa.



