Kluang, 26 September 2024 –
YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah mengadakan lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Kluang hari ini, dalam satu majlis yang menyaksikan pengiktirafan kepada Persatuan Bomba Sukarela (PBS) setempat.
Lawatan dimulakan dengan ketibaan YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, yang disambut oleh pegawai kanan dan jemputan. Upacara rasmi bermula dengan perbarisan Kawalan Kehormatan Suku yang mengiringi ketibaan YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. YB Timbalan Menteri disambut dengan penuh hormat melalui penerimaan Hormat Menteri sebelum beliau menandatangani Buku Pelawat.
Majlis diteruskan dengan acara tradisi yang melibatkan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku, serta lagu, “Siap Sedia Setiap Masa.” Bacaan Ikrar Rukun Negara dan doa melengkapkan suasana penuh patriotisme di kalangan hadirin.Dalam ucapan alu-aluan, YS PKPjB Siti Rohani menekankan pentingnya peranan bomba dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Johor. Beliau turut mengalu-alukan kehadiran YB Timbalan Menteri menyantuni anggota BBP Kluang serta memuji dedikasi anggota bomba sukarela yang sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran, khususnya di kawasan luar bandar seperti Paloh dan Kahang.
Sementara itu, YB Timbalan Menteri dalam ucapan beliau mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh anggota bomba dan sukarelawan dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti. Beliau turut menyentuh mengenai sokongan berterusan kerajaan terhadap usaha memperkasakan perkhidmatan bomba di seluruh negara.Sebagai tanda penghargaan, YB Timbalan Menteri menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Persatuan Bomba Sukarela Paloh dan Kahang. Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi dan komitmen PBS dalam membantu memantapkan keselamatan komuniti setempat.Majlis diakhiri dengan jamuan dan lawatan sekitar Balai Bomba, di mana YB Timbalan Menteri diberi penerangan mengenai kemudahan, operasi balai dan kerja-kerja naiktaraf projek Pembangunan BBP Kluang tersebut.
Sesi bergambar antara anggota BBP Kluang bersama YB Timbalan Menteri menutup lawatan rasmi tersebut.Lawatan ini menekankan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti dalam memantapkan lagi keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Dengan pengiktirafan yang diberikan, diharapkan semangat kebersamaan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh anggota bomba sukarela akan terus subur demi kemaslahatan masyarakat setempat.


