Johor Bahru, 16 Januari 2025 – Kampung Sepakat Baru menjadi lokasi tumpuan hari ini dengan kehadiran YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dalam lawatan kerja rasminya yang turut disertai acara penyerahan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa yang terjejas di daerah ini.
Program ini bertujuan menyampaikan bantuan secara terus kepada 10 penerima yang merupakan mangsa banjir di kawasan tersebut. Penyerahan sumbangan ini melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat yang menghadapi musibah bencana alam.
Turut hadir dalam program ini ialah YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, PPjB Muhammad Al Mustakin bin Abdul Hady, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor, serta pegawai-pegawai kanan jabatan. Kehadiran mereka mencerminkan kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan berkesan.
Bantuan yang disampaikan meliputi keperluan asas seperti makanan, serta bantuan kewangan untuk membantu sedikit sebanyak penerima memulakan semula kehidupan mereka. Penerima bantuan melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan serta agensi yang terlibat.
Program ini turut menyaksikan kerjasama erat antara kerajaan pusat, pihak berkuasa tempatan, serta agensi-agensi berkaitan dalam memastikan kelancaran operasi bantuan banjir. Dengan adanya inisiatif seperti ini, kerajaan berharap masyarakat yang terjejas dapat bangkit semula dengan semangat yang lebih kuat.
Program penyerahan bantuan ini berakhir dengan sesi ramah mesra antara YB Timbalan Menteri dan penduduk kampung, yang turut mengambil peluang untuk menyuarakan keperluan serta cadangan mereka bagi pembangunan komuniti di kawasan tersebut.


