Johor Bahru, 16 Januari 2025 – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau kesiapsiagaan JBPM Negeri Johor dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), khususnya melalui pengoperasian sistem pengurusan banjir yang komprehensif dan berkesan.
Lawatan dimulakan dengan YB Datuk Hajah Aiman Athirah menandatangani Buku Pelawat sebagai simbol penghormatan dan sokongan kepada JBPM Negeri Johor. Beliau kemudian mendengar taklimat pengoperasian banjir MTL yang disampaikan oleh pihak JBPM Negeri Johor. Taklimat ini memberi fokus kepada strategi operasi, persediaan logistik, serta pelaksanaan pelan kecemasan bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan semasa menghadapi musim banjir.
Seterusnya, YB Datuk Hajah Aiman Athirah melawat Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Johor, pusat utama bagi pengendalian operasi kecemasan di negeri ini. Semasa lawatan tersebut, beliau menyampaikan amanat serta kata-kata semangat kepada seluruh anggota JBPM Negeri Johor melalui sistem komunikasi PGO. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan dan dedikasi anggota JBPM yang sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawab walau dalam situasi mencabar.
Turut hadir dalam program ini ialah YS TPjB Nordin bin Pauzi, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM; YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir, Pengarah JBPM Negeri Johor; PPjB Muhammad Al Mustakin bin Abdul Hady, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor; serta penolong-penolong pengarah bahagian dan pegawai kanan JBPM Negeri Johor.
Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama para pegawai dan anggota JBPM Negeri Johor sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap usaha yang telah dilaksanakan. Lawatan ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara kementerian dan jabatan, malah memberikan motivasi kepada anggota JBPM untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
JBPM Negeri Johor kekal komited dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut berada di tahap tertinggi, demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.


