8.5.2024: Pusat Gerakan Operasi (PGO), JBPM Negeri Kedah menerima panggilan melalui talian MERS999 pada jam 6.02 petang berhubung kejadian orang sesat di Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.
Bertindak atas maklumat, pasukan Bomba BBP Alor Setar seramai 11 orang telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT, kenderaan Unit EMRS dan 3 motosikal Unit RIM diketuai oleh PBT II Noor Syakirah binti Mohd Rosli sebaik panggilan diterima.
Menurut PgKB I Ahmad Aminudin bin Abd Rahim selaku Komander Operasi Kanan, maklumat awal diterima sebaik tiba di lokasi adalah terdapat 3 orang remaja telah sesat di kawasan gunung tersebut iaitu lelaki berusia 19 tahun dan perempuan berusia 14 dan 17 tahun.
Pasukan Bomba telah bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan gunung itu.
Mangsa akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan telah dibawa keluar dengan menggunakan tali penyelamat yang turut di bantu oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke hospital dengan menaiki kenderaan Unit EMRS sebaik di bawa turun ke kaki gunung.
Dalam kejadian itu, salah seorang MGP yang turut serta dalam operasi penyelamatan telah mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Mangsa telah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans KKM. Setelah selesai, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.28 pagi, 9 Mei 2024.