KUALA TERENGGANU: Sebuah helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerbangkan kira-kira 1,100 kilogram (kg) bekalan makanan serta barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di FELDA Tersat dan kawasan sekitarnya di Hulu Terengganu, hari ini.
Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid, berkata helikopter membawa bantuan terbabit berlepas dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang, pada jam 10 pagi sebelum tiba di FELDA Tersat kira-kira 15 minit kemudian bagi penghantaran pertama.
Beliau berkata, pesawat berkenaan melakukan dua kali penghantaran dengan setiap penerbangan membawa kira-kira 550kg bantuan daripada FELDA Wilayah Terengganu.
“Kita menggunakan helikopter untuk menghantar bantuan itu memandangkan laluan di kawasan berkenaan dinaiki air dan tidak boleh diakses menggunakan bot atau trak bomba,” katanya ketika dihubungi, di sini.Beliau berkata, operasi terbabit berjalan lancar walaupun keadaan cuaca hujan renyai dan berawan rendah ketika penerbangan dilakukan.
“Operasi selesai pada jam 11 pagi tadi, dan kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Kredit sumber : BH Online
Oleh Zatul Iffah Zolkiply – Februari 28, 2022 @ 3:10pm bhnews@bh.com.my