2022 09 01 125315

Peniaga maut dalam kemalangan 3 kenderaan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi – Ogos 31, 2022 @ 11:36pm
bhnews@bh.com.

KUALA KRAI: Seorang peniaga maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, dekat Kampung Damar, di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad, berkata dalam kejadian pada jam 4.15 petang tadi, pemandu PERODUA Kancil, Mohamad Norhakim Nor Rusdi, 22, yang tersepit dalam kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu dari arah Kota Bharu menuju ke Gua Musang secara tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas ekspres yang dipandu lelaki berusia 37 tahun.

“Bas ekspres yang membawa 17 penumpang itu datang dari arah Gua Musang ke Kota Bharu kemudiannya bergesel dengan PERODUA Kelisa dipandu wanita berusia 40 tahun yang ketika itu berada di belakang kereta PERODUA Kancil dipandu mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu bas ekspres hanya mengalami luka dan calar di tangan sebelah kiri serta bawah dagu.

“Sementara itu, 17 penumpang bas ekspres dan pemandu PERODUA Kelisa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Suzaimi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 4.20 petang dan sepasukan enam anggota dari BBP Kuala Krai serta dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu bas ekspres, PERODUA Kancil dan PERODUA Kelisa.

“Seorang lelaki tersepit dalam kereta PERODUA Kancil dan berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas yang mengambil masa 15 minit, namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

kredit sumber : BH Online

English EN Malay MS
Skip to content