adib1

Pakar undang-undang, forensik sertai jawatankuasa khas siasat kematian Adib

Pakar undang-undang, forensik sertai jawatankuasa khas siasat kematian Adib
Oleh Latifah Arifin – November 13, 2021 @ 11:45am
latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dianggotai sepuluh individu merangkumi menteri, pakar perundangan, perubatan dan panel siasatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata beliau akan mempengerusikan pasukan petugas khas berkenaan dengan dua lagi menteri iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021 bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan yang menyeluruh dan telus serta pembelaan yang sewajarnya dapat dibuat terhadap kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Keahlian pasukan ini membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Kamardin Hashim; Pakar Perunding Patologi Forensik, RCSI dan University College of Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC), Datuk Dr Bhupinder Singh dan Profesor Ulung, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Looi Lai Meng.

“Selain itu, ia turut dianggotai bekas profesor madya di Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga pengamal undang-undang, Datuk Dr P Sundramoorthy, Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik, PDRM, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azari Abd Rahman dan Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan PDRM, SAC Mohammad Abd Hamid,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi jawatankuasa khas ini.

Jelasnya, memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan jawatankuasa khas termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Beliau turut memberitahu, jawatankuasa berkenaan akan mengemukakan dapatan dan syor kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan, sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober lalu.

Muhammad Adib, cedera ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019.

Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemuka. Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.

Kredit sumber : BH online

English EN Malay MS
Skip to content