14.2.2024: Satu kejadian melibatkan seorang lelaki disyaki telah lemas di Sungai Klang akibat hanyut dibawa arus yang berlaku pada malam tadi berhampiran Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur telah ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), JBPM Kuala Lumpur pada jam 10.08 pagi ini.
Pihak Bomba menerima panggilan tentang kejadian lemas tersebut pada jam 10.06 malam, 13 Februari 2024 sebelum menggerakkan pasukan Bomba daripada BBP Sentul serta dibantu oleh anggota PPDA daripada BBP Hang Tuah ke lokasi kejadian sejurus panggilan diterima.
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bintang turut hadir di lokasi kejadian.Menurut Komander Operasi Kanan, TPgB II Mohd Hafizan bin Hassan, mangsa berjaya ditemui dalam jarak 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan lemas.
Mangsa merupakan lelaki dewasa berusia 37 tahun dan pemegang kad UNHCR warganegara Sri Lanka berjaya dibawa naik dari tebing oleh pasukan penyelamat. Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Setelah selesai, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.38 pagi.
Balai Bomba Dan Penyelamat Jalan Hang Tuah