‘Kawal kenderaan awam ke lokasi banjir untuk elak sesak’ – Polis
Oleh Ruwaida Md Zain – Disember 21, 2021 @ 12:28pm
bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Tindakan pihak berkuasa mengawal kenderaan awam masuk ke lokasi banjir di sini bagi mengelak kesesakan ketika operasi menyelamat mangsa bencana sedang dilaksanakan, bukan menghalang badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan menghantar makanan seperti dakwaan yang ditularkan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata ketika kejadian yang ditularkan melalui aplikasi Tik Tok itu, pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.
“Semasa kejadian, polis bersama agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang bertungkus lumus menyelamat dan mengeluarkan mangsa banjir dari kawasan Seri Muda yang ditenggelami air.
“Jadi, hanya sebahagian kenderaan NGO dibenarkan masuk dan kebanyakan kenderaan orang awam tidak dibenarkan masuk dan keluar tanpa kebenaran. Ini bertujuan mengelakkan kesesakan dan memberi laluan kepada lori yang keluar masuk membawa mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baharudin berkata, tindakan mengawal kenderaan awam masuk ke lokasi banjir adalah bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk memandangkan paras air sungai semakin meningkat pada masa itu.
“Polis khuatir kesesakan di lokasi akan tambah memudaratkan semua pihak, menyukarkan lagi proses menyelamat nyawa mangsa. Keprihatinan semua NGO dan orang awam amat dihargai dalam membantu mangsa banjir, namun semua pihak diminta patuh arahan pihak berkuasa supaya memudahkan proses menyelamat mangsa,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan segera bagi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas banjir dengan agihan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, tular di Tik Tok oleh pemilik akaun @shahedrian90 yang mendakwa dihalang menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Taman Seri Muda.
KREDIT SUMBER : BHONLINE