Oleh Zuhainy Zulkiffli – November 2, 2022 @ 10:53am
bhnews@bhcom.my GEORGETOWN: Sebanyak 34 panggilan palsu diterima Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bagi tempoh antara Januari hingga Oktober lalu.
Kebanyakan panggilan palsu yang diterima membabitkan dakwaan berlaku kebakaran diikuti penyelamatan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin, berkata Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Perak di daerah Timur Laut dan BBP Perai di Seberang Perai adalah yang paling banyak menerima panggilan palsu.
“Boleh dikatakan bahawa 90 peratus daripada panggilan palsu itu membabitkan kebakaran manakala 10 peratus lagi penyelamatan.
“Jumlah panggilan palsu itu bagaimanapun menurun sebanyak satu peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Hafiz Hafizal berkata, tindakan yang diambil bomba bagi mengekang panggilan palsu adalah bekerjasama dengan pihak MERS 999 iaitu memperincikan maklumat diterima sebelum mengaturgerak ke tempat insiden.
“Sepanjang 2020 dan 2021 lalu, masing-masing sebanyak 42 kes direkod membabitkan panggilan palsu,” katanya.
Menurut statistik yang dikeluarkan JBPM Pulau Pinang, pihak berkenaan menerima keseluruhan sebanyak 1,808 panggilan berhubung kebakaran, penyelamatan (3,612) dan khidmat khas (633) sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.
Daripada jumlah itu, dilaporkan seramai dua mangsa mati dalam kebakaran, 25 cedera dan 38 berjaya diselamatkan.
Taksiran kerugian bagi tempoh yang sama pada tahun ini berjumlah RM169.641juta dan taksiran diselamatkan berjumlah RM1.3 juta.
Kredit Sumber : BH Online
2022 11 03 085158 1