Oleh Mohd Rafi Mamat – Januari 27, 2022 @ 8:01am
bhnews@bh.com.my
KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang kini memberi tumpuan menghadapi kemungkinan berlaku kes kebakaran hutan tanah gambut ekoran keadaan cuaca panas ketika ini.
Pengarah JBPM Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, tumpuan turut diberikan di kawasan belukar yang kini kering berikutan pokok mati selepas ditenggelami banjir akhir tahun lalu.
“Ia berikutan pokok renek termasuk lalang yang mati serta kering terlalu mudah terbakar terutama lagi dalam keadaan cuaca panas dan berangin.
“Jika tidak ditangani dengan tindakan awal, kita bimbang berlaku kebakaran membabitkan kawasan yang luas dan sukar di terkawal,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang di sini.
Wan Mohammad Zaidi berkata, kejadian itu boleh berlaku jika ada pihak melakukan aktiviti yang boleh mencetus kebakaran termasuk melakukan pembakaran terbuka atau faktor lain di kawasan terbabit.
Beliau berkata, JBPM Pahang kini sudah bersiap sedia dengan aspek keanggotaan dan logistik dalam berdepan kemungkinan berlakunya kes kebakaran hutan dan tanah gambut di negeri ini.
“Semua peralatan termasuk pam mudah alih yang digunakan untuk memadam kebakaran hutan dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
“Kita juga menerima enam unit ‘fire pump’ dari bomba Kuala Lumpur untuk kegunaan dalam operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut dan belukar sekiranya berlaku,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes kebakaran hutan tanah gambut, pihaknya kini sedang memantau beberapa lokasi di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin yang dikenal pasti sering berlaku kebakaran berdasarkan kejadian pada tahun sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Zaidi berkata, cuti anggota bomba di negeri ini dibekukan sempena perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.
Beliau berkata, hanya 20 peratus anggota dibenarkan bercuti sepanjang tempoh berkenaan.
“Penugasan Ops Tahun Baharu Cina sudah bermula di mana anggota dan jentera kini ditempatkan di tiga lokasi strategik sepanjang Lebuh raya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
“Pos operasi dibuka di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Genting Sempah, Temerloh dan Gambang untuk tugas rondaan dan pemantauan bagi menghadapi kemungkinan berlaku kemalangan yang memerlukan operasi penyelamatan segera,” katanya.
Katanya, pemantauan turut dilakukan ke atas premis yang dijangka menjadi tumpuan ramai sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan premis terbabit bebas daripada bahaya kebakaran.
kredit sumber : BH Online