20.12.2023: JBPM Negeri Sembilan menerima panggilan kemalangan jalan raya pada jam 2.39 pagi yang berlaku di KM AC 02 Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) dari Senawang menghala ke Jalan Pantai Jelebu, Negeri Sembilan.
Menurut Komander Operasi, PBK I (TBK) Kamaruzaimi bin Harith, pasukan Bomba daripada BBP Ampangan telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus panggilan di terima.
Setelah tiba di lokasi, terdapat sebuah kereta Honda City telah terbabas ke dalam longkang tepi jalan. Terdapat 5 orang mangsa di dalam kenderaan tersebut.
Salah seorang mangsa, remaja lelaki berusia 13 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM. Manakala 4 lagi mangsa iaitu 2 lelaki dewasa, 1 wanita dewasa dan 1 remaja lelaki berusia 13 tahun kesemuanya mengalami kecederaan.
Pasukan Bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan dengan mengeluarkan kesemua mangsa. Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
Manakala mangsa yang lain diserahkan kepada petugas KKM untuk menerima rawatan lanjut.