2022 10 31 104157

Hantar bantuan makanan ke Pos Gob, Pos Simpor

Oleh Paya Linda Yahya – Oktober 28, 2022 @ 1:20pm
bhnews@nstp.com.my

GUA MUSANG : Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan penghantaran bantuan bekalan makanan bagi menghantar 417 bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Pos Simpor dan Pos Gob.

Penerbangan selama dua hari itu, bermula semalam, membabitkan 6,255 kilogram (kg) makanan asas antaranya beras, gula, biskut, sardin dan tepung gandum.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman, berkata penerbangan menggunakan pesawat Mi-17-IV.

Katanya, penerbangan menghantar bantuan makanan itu membabitkan Pos Gob masing-masing Kampung Gawin 34, dan Perkampungan Gob 153 yang dihantar semalam.

“Hari ini membabitkan Pos Simpor 110 dan Kampung Jader 120 bakul makanan yang masing-masing dianggarkan seberat 15kg setiap bakul makanan termasuk beras.

“Penerbangan membabitkan sepuluh kru yang diketuai Leftenan Kolonel Tengku Ahmad Shaiful Isnawi Tengku Muhamad selain dibantu agensi Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membantu mengangkat makanan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, berkata pihaknya dengan Jabatan Bencana Daerah meminta bantuan Unit Udara JBPM untuk memghantar bantuan makanan kepada empat perkampungan Orang Asli terbabit.

Katanya, penghantaran bantuan makanan itu adalah tindakan awal bagi membantu penduduk di sana untuk menghadapi musim tengkujuh.

“Program penghantaran bakul makanan ini membabitkan Pos Simpor dan Pos Gob, adalah pos pedalam paling jauh di daerah ini.

“Alhamdulillah kita menerima bantuan daripada Unit Udara JBPM yang sudi menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di sana yang kita sedia maklum jalan ditutup sementara untuk proses baik pulih dan naik taraf.

“Operasi ini sudah bermula sejak semalam dan membabitkan 417 keluarga Orang Asli di Kampung Gob, Kampung Gawin, Pos Simpor dan Kampung Jader,” katanya.

Kredit sumber : BH Online

 

English EN Malay MS
Skip to content