2022 08 17 113352

Bomba siap siaga hadapi ancaman musim kemarau

Zuliaty Zulkiffli – Ogos 15, 2022 @ 9:04pm
bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi perubahan musim kemarau di negara ini. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata selepas berakhirnya Monsun Timur Laut, lazimnya musim kemarau akan melanda antara Mei hingga September dan ketika itu persediaan dilakukan sepenuhnya.

Menurutnya, September makin hampir dan walaupun perubahan cuaca pula menentu, langkah kesiapsiagaan tetap dilakukan.

“Alhamdulillah, tidak berlaku kebakaran besar seperti tahun sebelum ini. Cuma ribut, hujan, paras air naik menjadi cabaran buat anggota bomba ketika ini.

“Bagaimanapun cuti tidak dibekukan, cuti macam biasa tapi mod kesiapsiagaan masih diteruskan walaupun selepas pandemik COVID-19 dan terus berlaku banjir, kepala air dan banjir lumpur sampaikan kami tak berhenti menjalankan tugas sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 dan Penyampaian Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Kedah dan Perlis, di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon dan Pengarah JBPM Perlis, Ruhisha Haris.

Pada majlis itu, seramai 64 pegawai dan anggota dari JBPM Kedah menerima APC termasuk 12 yang turut menerima sijil 30 Tahun Perkhidmatan, manakala sembilan anggota JBPM Perlis menerima APC termasuk seorang turut menerima sijil 30 Tahun Perkhidmatan.

Mohammad Hamdan berkata, dalam keadaan sekarang, pihaknya sedang melakukan pemantauan cuaca dan mendapatkan informasi dari agensi berkaitan dalam kesiapsiagaan menghadapi musim kemarau.

JBPM juga, katanya, sudah mengenal pasti lokasi panas di beberapa negeri, iaitu Selangor, Johor, Pahang, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta sudah merangka dan siapsiaga dari aset pemadaman kebakaran di titik panas tertentu.

“Kita sudah pun meletakkan aset di pengkalan serta barisan hadapan. Kita fokuskan titik panas di negeri dulu sebelum daerah. Misalnya titik panas Selangor adalan Banting, Johan Setia dan Sepang, Pulau Pinang pula kerana ia tanah besar dan kawasan berbukit di sebelah pulau,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata, keanggotaan pasukan bomba yang bersiap siaga dalam satu-satu masa adalah seramai 3,600 orang bertugas pada satu syif, manakala keseluruhan kakitangan yang bertugas dalam operasi adalah 12,500 mengikut syif A, B dan C.

Katanya, JBPM juga akan menubuhkan pasukan khas kepala air di samping pasukan Special Water Rescue Team (SWART) Team yang sedia ada iaitu di Langkawi.

“Mereka terdiri daripada penduduk tempatan yang telah ditauliahkan oleh JBPM dan menerima elaun. Setakat ini statistik lemas lebih tinggi daripada kebakaran.

“Kita juga menubuhkan pasukan Bomba Komuniti di kawasan Titi Hayun dan Baling di Kedah berikutan fenomena kepala air yang berlaku di negeri ini sebelum ini untuk membantu,” katanya.

Kredit sumber: BHOnline

English EN Malay MS
Skip to content