Oleh Zuliaty Zulkiffli – Oktober 25, 2022 @ 5:57pm
bhnews@bh.com.my
Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia menempatkan anggotanya di beberapa pusat mengundi yang dikenal pasti jika berlaku bencana banjir ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata penempatan anggota itu tidak menjejaskan kesiapsiagaan 12,500 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara dalam persediaan menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).
“Sekiranya diperlukan, kita bersedia menghantar keanggotaan di pusat mengundi tertentu atas permintaan pihak berkenaan.
“Setakat ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah ada ramalan (banjir), jadi kita akan letak anggota di lokasi pangkalan hadapan dalam keadaan yang paling tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Bicara Governans Integriti dan Antirasuah (BiGIAR) Siri 2 2022 JBPM di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Al-Bukhary, di sini, hari ini.
Program siri kedua tahun ini dihadiri 49 agensi keselamatan dan penguatkuasaan termasuk dari beberapa negeri membabitkan 500 peserta.
Mohamad Hamdan berkata, JBPM sudah berada dalam keadaan siap siaga sejak banjir besar melanda Shah Alam pada penghujung 2021.
Beliau berkata, malah pihaknya sentiasa peka dengan perubahan cuaca terutama kejadian banjir yang mungkin berlaku di luar kawasan ‘hot spot’ yang sudah dikesan.
Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, mengikut statistik hanya dua kes rasuah dilaporkan pada tahun lalu, manakala sehingga Oktober tahun ini, tiada sebarang kes dilaporkan membabitkan pegawai dan anggota JBPM di seluruh negara.
Kredit Sumber : BH Online