2022 03 30 114131

Bomba perlu 175 balai bomba baharu di seluruh negara

PELABUHAN KLANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan kewujudan 500 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negara menjelang 2030 bagi meningkatkan kecekapan dan kepantasan operasi menyelamat.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata setakat hari ini bomba mempunyai 325 BBP yang beroperasi di seluruh negara.

“Antara 21 kriteria diperlukan bagi pembinaan balai, kita meninjau berapa jumlah bilangan penduduk di sesuatu lokasi, jumlah bangunan komersial, institusi kerajaan, bangunan industri juga kawasan berisiko tinggi, sederhana, rendah.

“Kita juga akan melihat aktiviti di kawasan dan frekuensi panggilan di kawasan itu. Berapa banyak panggilan di setiap lokasi berisiko tertentu seperti stesen minyak dan hotel.

“Jadi, kita memerlukan 175 buah lagi menjelang 2030 bagi memastikan negara kita maju bukan sahaja material tetapi kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Pengoperasian Post Kawalan Bomba (Fire Post) Pulau Indah, JBPM Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Selangor, Norazam Khamis dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Spektrum (M) Sdn Bhd (Central Spektrum), Mohamad Razif Abdul Wahab.

Mohammad Hamdan berkata, setakat ini bomba sudah membuat 42 permohonan termasuk pembinaan balai bomba, akademi bomba juga pangkalan operasi untuk helikopter bomba, namun hanya satu permohonan diluluskan.

“Banyak lokasi mendesak, kita sudah buat permohonan tetapi hanya satu diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu menaik taraf BBP Melaka Tengah yang sedia ada.

“Kita masih terus mendesak tetapi kita juga akan terus kaedah perolehan lain. Dalam 42 itu, ‘top 10’ yang mungkin kita lihat kritikal (diperlukan) kita akan usaha cara lain, mungkin melalui penswastaan,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan Pos Kawalan Bomba (Fire Post) Pulau Indah pula katanya, post kawalan berkenaan adalah pos kawalan kekal pertama di Selangor dan menjalankan fungsi sebagai balai bomba.

“Wujudnya Fire Post di Pulau Indah ini, segala aspek perlindungan keselamatan kebakaran, keperluan khidmat kebombaan, penyelamatan dan khidmat bantuan kemanusiaan boleh disampaikan dengan lebih responsif dan cepat.

“Saya difahamkan kawasan jagaan Fire Post ini merangkumi kawasan kawasan komersial, industri, perumahan dan perkampungan dalam lingkungan keluasan 6,155.5 ekar, dengan kepadatan kira-kira 20,000 penduduk.

“Pengoperasian Fire Post ini secara optimum akan dapat mempercepatkan masa respon di bawah 10 minit, memandangkan kedudukan BBP sedia ada paling hampir adalah BBP Pelabuhan Klang terletak pada jarak melebihi 20 kilometer dari kedudukan kawasan Pulau Indah dengan purata ‘respon time’ adalah 25 minit,” katanya.

Pada masa sama, Mohammad Hamdan menzahirkan penghargaan kepada syarikat Central Spectrum yang menyediakan bangunan pos kawalan dengan caj hanya RM10 setahun.

“Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan. Bomba menyambut baik dan menyanjung tinggi komitmen yang diberikan oleh pihak Central Spectrum,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (tengah) diiringi Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Muhamad Razif Abdul Wahab (dua dari kanan) pada Perasmian Pengoperasian Fire Post Pulau Indah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor di Fire Post Pulau Indah, Pelabuhan Klang. STR/FAIZ ANUAR

kredit sumber : BH Online

English EN Malay MS
Skip to content