Oleh Samadi Ahmad – Oktober 28, 2022 @ 11:09am
bhnews@bhnews.com.my
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti anggotanya bagi memastikan tahap kesiapsiagaan jabatan pada tahap optimum sepanjang tempoh kritikal Monsun Timur Laut (MTL), bermula November depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata kelulusan cuti diselaraskan bagi tempoh 4 hingga 30 November bagi semua jenis cuti, kecuali cuti kecemasan, keagamaan dan perubatan.
Bagi tempoh 1 Disember hingga 15 Januari 2023 pula, katanya, hanya 20 peratus daripada keseluruhan pegawai dan anggota dibenarkan bercuti.
Katanya, pembekuan cuti membabitkan semua kategori pegawai dan anggota bertugas di negeri, mengambil kira kemungkinan banjir yang dijangka melanda.
“Tugas dan peranan sebagai komander dan timbalan komander operasi bencana akan diambil alih oleh JBPM,” katanya berucap pada Perhimpunan Oktober 2022 JBPM, di sini hari ini.
Katanya, tugas dan peranan komander operasi bencana diputuskan pada 12 Oktober lalu pada Mesyuarat Pelarasan Agensi-Agensi Tindak Balas Bagi Menghadapi MTL 2022/2023 yang dipengerusikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali.
Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, beberapa anggota dan jentera JBPM akan ditempatkan di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) ketika proses mencetak kertas undi demi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjalan lancar.
“Saya juga sudah mengarahkan 333 balai bomba seluruh negara untuk mengenal pasti dan membuat pemeriksaan di pusat mengundi di negeri masing-masing dan pemantauan semasa pengiraan undi bagi mengelak berlaku sebarang insiden.
“JBPM juga bersiap sedia menghadapi sebarang insiden tidak diingini selepas pembentukan kerajaan baharu nanti,” katanya.
Bercakap pada sidang media kemudian, Mohammad Hamdan berkata, JBPM juga melancarkan Pasukan Gerak Khas (MTL Red Team) bagi memantapkan lagi persiapan dan persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan dalam menghadapi MTL.
Beliau menjelaskan, MTL Red Team adalah penambahbaikan kepada ‘Regional Forward Base’ (RFB) yang sebelum ini ditempatkan di tiga lokasi,
Katanya, MTL Read Team ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur di Terengganu untuk Wilayah Timur; Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang untuk Wilayah Utara dan BBP Ayer Hitam, Johor untuk Wilayah Selatan.
“Satu garis panduan Pasukan Red Team Monsun Timur Laut (MTL Red Team) telah diedarkan bagi melancarkan penubuhan pasukan ini. Ia menetapkan mekanisme pengaktifan, komposisi, arahan kerja atur gerak sumber manusia dan logistik JBPM,” katanya.
Katanya lagi, seramai 253 anggota, 58 unit bot, 41 unit kenderaan utiliti dan 33 lori akan bersedia setiap hari di lokasi yang ditetapkan JBPM setiap negeri.
“Komposisi mínimum MTL Red Team terdiri 12 anggota, dua bot penyelamat, satu kenderaan utiliti dan sebuah lori bagi tujuan lojistik dan penyelamatan serta pemindahan mangsa banjir,” katanya.
Beliau memaklumkan, pasukan itu turut dianggotai seorang anggota dari pasukan khas ‘Emergency Medical Response Services’ (EMRS) dan seorang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi memastikan operasi penyelamatan berada pada tahap optimum.
“Penubuhan pasukan ini mendapat sokongan kerajaan Selangor. MTL Red Team JBPM Selangor dibenar ditempatkan di dua lokasi, iaitu Pejabat Penghulu Batu 14 dan Dewan Orang Ramai Sungai Lui bagi tujuan penempatan sumber manusia, aset dan logistik.
“JBPM sudah bersiap siaga dan anggota juga sudah dipersiapkan dengan latihan,” katanya.
Kredit sumber : BH Online