572022 1

Bomba bantu pindahkan 11 mangsa terperangkap banjir

Oleh Zuliaty Zulkiffli – Julai 5, 2022 @ 8:04am
bhnews@bh.com.my

BALING: Tiga sekeluarga di Kampung Belakang Sekolah, Kupang di sini, yang terperangkap dalam kejadian banjir semalam berjaya dipindahkan dengan bantuan pasukan bomba. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata semua tiga sekeluarga terdiri 11 mangsa itu berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sheik Sheh, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Beliau berkata, anggota bomba berjaya membawa keluar mangsa terdiri dua warga emas, empat lelaki dan wanita dewasa dan lima kanak-kanak.

“Semua mangsa berada di tingkat atas rumah ketika pasukan bomba memasuki kampung itu.
“Jalan menghubungkan kampung ini juga terputus akibat ditenggelami air sedalam 1.5 hingga dua meter memasuki kawasan rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini pihaknya masih mengesan beberapa lagi mangsa yang masih terperangkap untuk diselamat dan dipindahkan.

Kejadian banjir lumpur di Baling semalam berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak jam 2 petang sehingga menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Kredit Sumber : BH online

English EN Malay MS
Skip to content