Oleh Norzamira Che Noh – November 10, 2022 @ 8:12am
bhnews@bh.com.my
KLANG: Seramai 30 mangsa daripada lapan rumah di Kampung Johan Setia dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Johan Setia akibat banjir kilat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata 30 mangsa yang terdiri daripada 10 kanak-kanak; 19 dewasa serta seorang warga emas wanita yang juga orang kurang upaya (OKU).
Katanya, pasukan menerima panggilan mengenai banjir berkenaan pada jam 5.49 petang semalam dan seramai 16 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dan BBP Andalas bergegas ke lokasi.
“Setakat ini, lapan rumah terbabit dan penghuninya dipindahkan ke PPS SK Johan Setia.
“Setakat ini pemindahan mangsa masih diteruskan dan kita akan memantau kawasan ini walaupun trend air menunjukkan penurunan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukannya turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Johan Setia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis, Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah Klang dan Angkatan Pertahanan Awam.
kredit sumber : BERITA HARIAN ONLINE