SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kejadian ban pecah berhampiran pintu kunci air di Jalan Serikandi 25/14, Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, malam ini.
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.15 malam dan tiba di lokasi pada jam 8.28 malam.
“Siasatan dilakukan pegawai bomba di lokasi mendapati ban pecah berhampiran pintu air sehingga menyebabkan berlaku limpahan air ke kawasan perumahan.
“Bagaimanapun keadaan terkawal dan kerja pembaikan ban sedang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Hujan sudah berhenti, keadaan air berada pada paras tebing iaitu setinggi kira-kira dua kaki,” katanya kepada BH, hari ini.
Norazam berkata, anggota bomba akan berada di lokasi sehingga air pasang pada jam 12 tengah malam ini untuk meninjau paras air.
“Bomba sudah bersiap sedia dengan lima bot termasuk bot aluminum, bot fiber dan satu kenderaan jika pemindahan mangsa perlu dilakukan,” katanya.
Oleh Ruwaida Md Zain – Mac 2, 2022 @ 11:12pm bhnews@bh.com.my