Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri – Oktober 25, 2022 @ 9:21pm bhnews@bh.com.my
GERIK: Tiga termasuk dua wanita parah akibat tersepit selepas kereta dinaiki mereka jatuh ke gaung sedalam dua meter di Jalan Gerik-Kupang (Jalan Baling-Gerik) berdekatan Kilang Latif Lim di sini, petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata nahas itu menyebabkan seorang lelaki dan dua wanita parah tersepit dalam kereta PROTON Iriz.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.41 petang dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi bagi bantuan menyelamat.
Katanya, kejadian berlaku dipercayai selepas PROTON Iriz dari arah pekan Gerik menghala Kupang dilanggar sebuah kereta Honda Civic yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, kereta PROTON Iriz terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira dua meter dari bahu jalan.
“Tiga mangsa tersepit dalam PROTON Iriz dengan mangsa cedera di bahagian muka dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu kereta Honda Civic tidak mengalami kecederaan.
“Semua mangsa yang cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 4.50 petang tadi,” katanya.
Kredit Sumber : BH Online